MENYANGKAL TULISAN SAUDARA MOHD SHAUKI ABDUL MAJID PENGURUS PENYELIDIKAN YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA (YADIEM) BERKAITAN ISU LESEN PERJUDIAN.

Oleh:
Khairul Anuar Bin Ismail
Pengerusi Felow Manhal PMRAM 2010

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani”

Akhbar Utusan Malaysia pada hari Isnin bertarikh 24.5.2010 telah menyiarkan satu rencana yang telah dikarang oleh saudara Mohd Shauki Abdul Majid, pengurus penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIEM) yang bertajuk ‘Kerajaan Tidak Menghalalkan Judi dan Arak’. Rencana itu dikarang dengan tujuan menjawab isu lesen perjudian bola sepak yang diberikan oleh kerajaan Malaysia. Di dalam rencana tersebut pengarang mendakwa bahawa pemberian lesen perjudian tersebut tidak bercanggah dengan kaedah siasah syariyyah sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w dan Saidina Umar al-Khattab.

Namun setelah diteliti dengan mendalam mengikut nas-nas al-Quran dan hadis serta kaedah syarak, rencana tersebut secara jelas tidak dapat memberikan hujjah yang benar dan didapati banyak kesilapan yang telah dilakukan oleh pengarang dalam usaha membenarkan dakwaan beliau. Secara ringkas, pengarang mahu menyamakan hukum berkaitan arak dengan hukum perjudian yang mana membenarkan sebuah negara membuka ruang aktiviti perjudian sebagaimana arak dibenarkan kepada bukan Islam berdasarkan maslahah. Di sini pihak saya akan menyatakan kesilapan-kesilapan tersebut berdasar beberapa perkara dibawah:

Kesilapan Pertama: Pengharaman judi disamakan dengan pengharaman arak

Dalam muqaddimah rencana tersebut, pengarang telah menyebut perihal pengharaman arak secara beransur-ansur (tadarruj) sebagaimana yang tersebut di dalam Al-Quran pada surah Al-Baqarah (ayat 219), surah Al-Nisaa’(ayat 43) dan surah Al-maidah (ayat 90). Tujuan pengharaman arak secara beransur-ansur adalah untuk meraikan keadaan dan suasana umat Islam pada ketika itu yang masih lagi dalam peringkat pembinaan iman. Pengarang walaubagaimana pun telah menyamakan pengharaman judi dengan arak semasa mengulas ayat 43 surah al-Nisaa’ dengan kata beliau:

“Pada peringkat kedua, Allah SWT menurunkan ayat selanjutnya, iaitu ayat 43, surah al-Nisa. Antara kandungannya ialah Allah melarang orang Islam menunaikan solat ketika mereka mabuk, sehinggalah mereka benar-benar mengetahui apa yang mereka bacakan. Pada tahap itu,
arak dan judi masih belum diharamkan secara tegas.”

“Akhirnya, Allah menurunkan firman-Nya dalam surah al-Maidah, ayat 90 yang dengan tegas mengatakan bahawa arak, judi, menyembelih korban untuk berhala dan nujum adalah lebih keji dan lahir daripada perbuatan syaitan.”

Pada hakikatnya pengharaman judi tidak boleh disamakan dengan pengharaman arak dari sudut tadarruj (bertahap). Pengharaman judi sebenarnya adalah sama dengan pengharaman zina, bunuh, mencuri, merompak dan lain-lain yang mana pengharamannya datang secara terus tanpa disebut secara bertahap sebagaimana pengharaman arak kerana mudarat aktiviti perjudian amat besar kepada masyarakat berbanding arak yang mana ia digunakan juga untuk aktiviti lain seumpama tujuan perubatan oleh masyarakat pada ketika itu selain daripada minuman.

Oleh itu pengharaman sekaligus telah diwahyukan oleh Allah dalam surah Al-Maidah ayat 90. Maka jelaslah di sini pengharaman secara bertahap adalah dikhususkan untuk arak tidak termasuk judi dengan hikmah tertentu. Walaupun pengharaman judi tidak disebut di dalam al-Quran sebagaimana arak tetapi ia tidak bermakna judi dihalalkan oleh Islam sebelum dinyatakan secara jelas di dalamnya. Kalaulah kaedahnya begitu, maka perbuatan lain seperti membunuh, merompak dan berzina dikira halal sebelum diharamkan oleh al-Quran.

Kesilapan Kedua: Mendakwa dalil orang bukan Islam boleh meminum arak berdasarkan perbuatan Rasulullah s.a.w menyuruh para sahabat membayar ganti rugi (dhoman) terhadap bekas arak yang dipecahkan.

Pengarang berkata:

“Pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW, beberapa sahabat memecahkan tempat menyimpan arak milik bukan Islam. Rasulullah telah meminta supaya para sahabat berkenaan membayar diat (ganti rugi) yang jumlahnya setimpal dengan nilai barangan yang telah dirosakkan. Ini boleh dijadikan asas bahawa orang bukan Islam boleh meminum minuman yang memabukkan atau memprosesnya selagi tidak memudaratkan orang lain”

Pertama, pengarang mengistilahkan ganti rugi dengan perkataan diat. Istilah tepat yang sepatutnya digunakan mengikut ilmu feqh adalah dhoman. Kedua, hadis tersebut langsung tidak menyebutkan orang bukan Islam harus minum arak secara jelas (sorih) atau melalui mafhumnya (samada mafhum muwafaqah, mafhum mukhalafah dan lain-lain yang digunakan untuk memahami nas).

Ketiga, Rasulullah menyuruh para sahabat membayar ganti rugi adalah kerana merosakkan harta iaitu bekas-bekas yang masih boleh digunakan sedangkan yang diharamkan adalah arak bukan bekas-bekas tersebut. Bekas-bekas tersebut tiada kaitan dengan pengharaman arak.

Keempat, hukum bukan Islam meminum arak di dalam syariat Islam juga adalah berdosa dan dihisab pada hari akhirat. Ini kerana mengikut pendapat yang paling kuat di sisi para ulama, bukan Islam juga ditaklifkan dengan perkara furu’ (seperti solat, zakat dan lain) sebagaimana mereka ditaklifkan dengan perkara usul (iaitu beriman dengan Allah). Maka tiada dalil yang membenarkan atau mengharuskan perbuatan tersebut mengikut nas Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.

Cuma perkara yang membenarkan mereka meminum arak adalah berdasarkan dasar toleransi Islam itu sendiri yang membenarkan penganut agama lain yang berada dalam negara Islam melakukan aktiviti yang dibenarkan oleh agama mereka seperti meminum arak dan memakan daging khinzir. Sesebuah negara Islam itu tidak boleh menghalang mereka dalam soal tersebut. Ianya berlainan dengan judi yang tidak dibenarkan atau dihalalkan oleh mana-mana agama utama di dunia. Oleh itu Khilafah Islamiah sejak dahulu tidak membenarkan judi kerana diharamkan oleh seluruh agama di dunia.
(Rujuk Ghairul Muslimin Fi Mujtama’ Islami, Dr. Yusuf Al-Qaradawi, ms 47-48, cetakan Maktabah Wahbah, Kaherah)

Seterusnya pengarang berkata:

“Namun, mereka perlu sedar bahawa perbuatan tersebut bercanggah dengan ajaran umat Islam. Jika mereka hendak meneruskan juga perbuatan itu,
maka hendaklah dilakukan secara yang tidak mengganggu umat Islam seperti di tempat-tempat khusus dan tersembunyi.

Pengajaran dan pembinaan hukum Islam seperti dalam kes pengharaman arak ini amat sesuai dengan situasi yang wujud di Malaysia, iaitu umat Islam dan bukan Islam hidup bersama dalam sebuah entiti negara.”

Kemudian pengarang berkata lagi:

“Prinsip itu terkandung dalam siasah syariah. Imam Syafie r.a. dalam kitabnya Asybah Wa al-Nazair ada membincangkan satu kaedah yang bermaksud:
Pemimpin seharusnya bertindak ke atas rakyatnya berdasarkan kesesuaian maslahah (kebajikan dan kepentingan umum).”

Memang diakui sekiranya bukan Islam ingin melakukan aktiviti yang dibenarkan oleh agama mereka tetapi diharam oleh Islam (seperti kes minum arak), maka hendaklah dilakukan ditempat khusus dan tersembunyi supaya tidak menyinggung perasaan umat Islam. Tetapi persoalannya, adakah perkara ini betul-betul diangkat menjadi undang-undang Malaysia atau diamalkan secara baik?

Apa yang terjadi adalah berlawanan sebagaimana yang dakwaan-dakwaan yang terdapat di dalam rencana tersebut yang berkaitan dengan arak. Kita boleh lihat sendiri arak dijual secara berleluasa tanpa kawalan, dihidangkan di dalam hotel-hotel, dijual oleh peramugari beragama Islam di dalam kapal terbang, kilang yang terbesar di Asia Tenggara dan diminum serta dijual secara terbuka oleh orang Islam sendiri. Adakah wujud satu kaedah khusus dalam Islam yang membenarkan sebuah negara menjalankan aktiviti perniagaan arak sampai ke tahap itu? Di mana maslahah yang didakwa?

Keadah yang disebutkan oleh pengarang sedikit pun tidak tepat dengan realiti yang berlaku ataupun boleh dianggap telah menyeleweng daripada maksud yang tujuan asal. Apa yang berlaku sekarang adalah satu mafsadah dan bukan maslahah. Adakah tepat sekiranya semata-mata ingin menjaga satu kepentingan kita mengundang satu kecelakaan kepada umat? Adakah sama perbuatan Saidina Umar mengutip cukai import arak dengan keadaan sekarang? Itu adalah persoalan kepada pengarang kerana saya tidak mahu membahaskan persoalan maslahah di dalam Islam secara panjang lebar kerana isu yang diulas adalah berkaitan judi.

Kesilapan Ketiga: Pengarang silap menyebut kaedah syara’

Samada secara sedar atau tidak, pengarang sebenarnya telah melakukan kesilapan dalam menyebut satu kaedah penting iaitu katanya:

“Malah dalam usul fikah juga terdapat perkara yang menekankan
menangani bahaya yang khusus adalah lebih diutamakan daripada bahaya yang umum (yang boleh melibatkan kemudaratan yang lebih besar).”

Kaedah yang sebenarnya adalah berbunyi,
“menangani bahaya yang umum (melibatkan masyarakat umum atau lebih besar) lebih diutamakan daripada bahaya khusus (yang bersifat peribadi dan kecil).

Bagi sesiapa yang mempelajari Fiqhul Muwazanah
(rujuk Siasah Syariyyah, Dr. Yusuf al-Qaradawi, m.s 300-301, Maktabah Wahbah, Kaherah) akan memahami dengan mudah kaedah tersebut. Kaedah yang sama dalam bahasa arab berbunyi:

"دفع المفسدة العامة يقدم على المفسدة الخاصة"
“Mengelak kemudaratan umum lebih utama daripada yang khusus”

"ضحى بالمصلحة الخاصة من أجل المصلحة العامة"
“Dikorbankan maslahah khusus kerana menjaga kepentingan umum”

"يتحمل الضرر الأدنى لدفع الضرر الأعلى"
Ditanggung mudarat yang lebih kecil kerana mengelakkan mudarat yang lebih besar”

"يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام"
“Ditanggung mudarat yang khusus untuk mengelak mudarat yang umum”

Semua kaedah di atas mempunyai maksud yang hampir sama iaitu menjaga kepentingan umum diutamakan dengan menggadaikan kepentingan khusus atau mengelakkan bahaya yang lebih besar dan yang melibatkan masyarakat secara amnya perlu diutamakan dengan hanya menanggung bahaya yang lebih kecil atau khusus.(Qawaid Fiqhiyyah, Dr. Abdul Aziz Muhammad Azzam, m.s 144, Darul Hadith, Kaherah)

Pengarang berkata:

“Pada masa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, beliau pernah mengenakan cukai import ke atas minuman keras yang dibawa masuk dari luar negara. Hasil kutipan tersebut dimasukkan ke dalam sumber am negara dan dibelanjakan untuk pengurusan infrastruktur seperti jalan raya.

Ini menggambarkan suatu pemerintahan yang bijaksana apabila pengimportan najis tersebut dibenarkan dan dikawal. Maksudnya, pemerintah telah mengambil langkah memilih bahaya (kemudaratan) yang sedikit daripada bahaya yang lebih besar.”

Untuk pengetahuan pembaca, kaedah yang digariskan adalah kaedah “menanggung bahaya yang lebih ringan daripada dua bahaya atau Irtikab Akhaffu dharurain”. Maksudnya lebih kurang kaedah di atas. Selain itu, soal yang dilaksanakan oleh Saidina Umar adalah berkaitan arak dengan berdasarkan toleransi Islam dengan bukan Islam seperti yang telah saya nyatakan tadi dalam perbahasan kedua. Kerajaan Islam yang dipimpin oleh sahabat Nabi Muhammad yang agung ini tiada kena mengena sedikit pun dengan urusan perjudian.

Selain itu juga, kaedah ini juga tidak terpakai dalam isu judi kerana memberikan lesen perjudian pada hakikatnya akan menimbulkan darurat yang lebih besar kepada negara bahkan menggalakkan aktiviti perjudian di kalangan rakyat kerana mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan. Mereka juga tidak menanggung risiko penanggkapan polis.

Oleh itu, sekiranya kaedah ini ingin digunakan maka yang sepatutnya yang dilaksanakan ialah kerajaan seharusnya mengharamkan aktiviti perjudian dan menangkap mereka yang berjudi sekalipun terpaksa mengorban harta, masa dan tenaga kerana risiko pengorbanan itu lebih ringan berbanding membiarkan rakyat terjebak dengan aktiviti yang keji lagi mempunyai mudarat yang besar. Dengan itu, barulah kaedah yang tersebut di atas tepat pada perlaksanaannya sebagaimana yang disebut oleh para fuqaha’ serta kerajaan juga dapat mendidik masyarakat agar tidak terjebak dengan arak dan judi.

Kesilapan Keempat: Menqiyaskan hukum arak dengan hukum judi

Kesilapan yang paling utama dan juga tujuan utama rencana ini dikarang adalah untuk membenarkan tindakan kerajaan mengeluarkan lesen judi dengan membawa dalil-dalil yang mengharuskan perniagaan arak dalam negara Islam.

Maaf, saya ingin katakan bahawa pengarang belum memahami selok belok ilmu siasah syariyyah dengan baik atau memahami ilmu qawaid fiqhiyyah secara sempurna sehinggakan dalil yang dibawa untuk mengharuskan arak dijual dalam negara Islam pun banyak menyeleweng dan salah. Apatah lagi ingin menggunakan hujjah tersebut untuk menghalalkan aktiviti perjudian. Pengarang telah menyebut dalam rencana tersebut:

“Inilah persepsi yang sepatutnya difahami apabila kerajaan mengizinkan
pengimportan ke atas arak, atau mengeluarkan lesen judi. Kerajaan juga tidak menghalalkan arak dan judi atau mendorong dan menggalakkan rakyatnya berjudi dan meminum arak.”

“Tegasnya arak dan judi adalah untuk mereka yang bukan beragama Islam, yang menjadikan judi dan arak itu sebagai lumrah dalam kehidupan mereka. Lagi pun undang-undang dalam enakmen syariah di setiap negeri ada memperuntukkan fasal-fasal yang menjatuhkan hukuman ke atas kegiatan dan penglibatan umat Islam dalam kes judi dan arak.”

Sekali lagi ingin saya nyatakan bahawa Islam tidak membenarkan langsung aktiviti perjudian kerana semua agama di dunia tidak menghalalkannya. Ini berlainan dengan isu arak yang mana ia merupakan hak bukan Islam untuk meminumnya dalam negara Islam kerana ia dibenarkan oleh sebahagian agama mereka walaupun Islam meletakkan piawaian tertentu untuk mengelakkan berlaku kemudaratan. Hak ini samalah dengan hak mereka untuk beribadat di kuil-kuil, merayakan hari kebesaran agama mereka dan lain-lain.

Kesimpulan hujjah yang didakwa pengarang ialah judi diharamkan bersama arak yang mana pengharamannya secara bertahap. Judi juga adalah amalan dan budaya jahiliyyah seperti arak maka hukumnya adalah seperti arak. Memberikan lesen judi pula adalah daripada satu perinsip pemimpin negara untuk menjaga maslahah umum dan menanggung mudarat yang ringan.

Setelah dijawab satu persatu maka jelaslah dalil-dalil tersebut adalah dalil rekaan yang tidak berdasarkan keilmuan yang jitu dan tidak menepati realiti. Mereka yang benar-benar mengkaji hukum dan tarikh tasyri’ sangat mudah untuk mematahkan hujjah yang dangkal tersebut.

Tegasnya, mengqiyaskan soal arak dengan soal judi dalam persoalan ini adalah Qiyas maal fariq. Sejarah Islam belum pernah mencatatkan mana-mana kerajaan di bawah mana-mana Khalifah membenarkan aktiviti judi kerana judi itu seolah-olah telah membunuh aktiviti ekonomi rakyat.

Akhir sekali, saya menyeru dan mencadangkan kepada kerajaan Malaysia supaya mengharamkan aktiviti perjudian dan menasihati kepada golongan agamawan dalam sektor-sektor kerajaan supaya berani menegur kesilapan dan bukannya mengeluarkan fatwa yang menyeleweng. Saya memohon ampun sekiranya jawapan ringkas ini mengandungi kelemahan. Wallahu A’lam.

sumber asal : http://ibnubarqi.blogspot.com/2010/05/menyangkal-tulisan-saudara-mohd-shauki.html
Category: 0 comments

TEMA-TEMA HARI GURU MALAYSIA



2010 Guru Pembina Negara Bangsa
2009 Guru Pembina Negara Bangsa
2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
2007 Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1975 Guru dan Pembangunan Negara
1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara


Category: 0 comments

selamat hari guru


Assalamualaikum....

Alhamdulillah, syukur ku panjatkan kehadrat ilahi, selawat dan salam buat junjungan mulia nabi kita muhammad salla Allahu alaihi wasallam, keluarga, sahabat, para tabi'e, tabi' tabie, serta semua ulama semoga dibawah naugan Allah hendaknya... aaamin...

Tiada ucapan yang layak melainkan terima kasih beribu2 buat guru ku semuanya...
jasa mu dikenang sampai bila2.....

"sesungguhnya sesiapa yang pernah memberi ilmu kepadaku walaupun satu perkataan adalah guru kepada ku" (mafhum dari kata-kata Saidina Ali RA)


...:: guru pembina negara bangsa ::...


Category: 0 comments

ape nok jadi dah ni???


Assalamualaikum....

Alhamdulillah, syukur ku panjatkan kehadrat ilahi, selawat dan salam buat junjungan mulia nabi kita muhammad salla Allahu alaihi wasallam, keluarga, sahabat, para tabi'e, tabi' tabie, serta semua ulama semoga dibawah naugan Allah hendaknya... aaamin...

pening bila tengok berita di malaysia, macam2 dah berlaku. Bila nafsu mendahului ketetapan agama, begini la jadinya... kita semakin jauh dr jalannya.... nauzubillah....

untuk mengomen tak dapat la, sbb masa tak mengizinkan sangat.... jadi copy jer dari blog org....
harap2 kita sama2 dapat ambik iktibar....

Kejutkan diri kalian dari terus diperbodohkan oleh org2 yang cuba menjatuhkan agama Islam ini....
ya akhiii.....


Perjudian adalah satu jenis permainan pertaruhan yang mana pihak yang menang akanmeraih wang pertaruhan mereka yang kalah. Tidak dinamakan perjudian jika kedua-dua pihak mencapai kemenangan. Itulah sifat perjudian yang diharamkan di dalam undang-undang Islam. Malah juga dilarang oleh semua agama lain.

Oleh itu, secara peribadi saya terperanjat (malah ramai yang lain juga) membaca kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussien yang menyatakan pertimbangan sedang dibuat untuk meluluskan lessen perjudian bolasepak sempena kejohanan Bola sepak Piala Dunia yang akan datang ini.

HUJJAH BELIAU

Beliau dirakamkan oleh akhabar tempatan berkata :

"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram)."

BANTAHAN & RASIONAL

Pegeluaran lesen atas alas an untuk mengawal dan mengethaui jumlah wang pertaruhan adalah tertolak di sisi Islam. Sesebuah kerajaan dan pemimpin mestilah lebih kreatif dan bertanggungjawab dalam mencari jalan mengawal perjudian gelap.

Kawalannya bukanlah dengan memberi lesen kerana itu hanya akan lebih memakmurkan gejala tersebut. Tetapi KAWALAN adalah dengan memperkenalkan teknik banteras, hukuman lebih keras dan tahap efisyen yang lebih kemas bagi memerangkap mereka yang terlibat.

Namun apabila lesen diberikan, ia jelas merupakan satu galakan kepada kaki judi dan seterusnya seolah-olah memberi mesej bahawa:

‘Kerajaan ingin tumpang sekaki dalam perjudian mereka"

"Kerajaan ingin turut merasa sedikit imbuhan hasil perjudian mereka yang berjudi, so jika lebih ramai berjudi, lebih baik kepada kerajaan akan mendapat sesuatu"

ANALOGI

Ia seolah-olah kerana kerajaan ingin menbenarkan benda yang tidak benar.

Bolehkah atas alasan mengetahui jumah sebenar & mengawal MAT REMPIT yang berempit di atas jalan raya secara haram, maka KERAJAAN MEMPERTIMBANGKAN PEMBERIAN LESEN MEREMPIT kepada mt rempit di atas JALAN RAYA AWAM. Semua mat rempit mestilah mendaftar dan membayar yuran untuk merempit di atas jalan raya. Bukan LESEN UNTUK merempit di trek lumba dan IA IBARAT memberi LESEN untuk terus merempit di JALAN RAYA.

Merempit di jalan raya awam banyak mudaratnya kepada mat rempit itu sendiri dan juga orang awam. Demikian juga kesnya membenarkan perjudian bola sepak ‘gelap' untuk dijadikan ‘terang' tetapi tetap di atas laluan yang memudaratkan orang awam.

JUSTERU

Kerajaan yang bertanggungjawab MESTILAH sentiasa mengurangkan aktiviti negatif di kalangan rakyat, bukannya meraikan dan meluluskannya.

Sedarilah, perjudian hanya akan menjerumuskan rakyat di dalam :-

a- Kancah hutang dan masalah kewangan lebih serius. Kita bimbang kecenderungan masyarakat Malaysia yang sukakan skim cepat kaya, yang sering diserbu, diharamkan DAN DISITA oleh kerajaan. Namun peliknya, kini kerajaan seolah ingin membenarkan skim tersebut, perjudian adalah salah satu jenis skim cepat kaya, yang sering membawa kayap.

b- Seterusnya membawa kepada masalah dan krisis rumahtangga. Pergaduahan suami isteri, anak mencuri duit ibu ayah untuk berjudi, suami curi duit isteri dan sebagainya,

c- Kita bimbang, hasil lesen yang diberi, kanak-kanak akan turut serta dalam perjudian khususnya secara online. Dan tiada sesiapa boleh menghalang kerana lesen telah diberi oleh kerajaan dan perbuatan itu tidak lagi dianggap satu kesalahan.

d- Masyarakat tidak progresif kerana menjadi lalai untuk meneka dan bertaruh serta menonton bolasepak secara berlebihan. Kalau dulu penonton hanya ‘exited' untuk melihat pasukan yang disokong, kini, bakal menjadi begitu obsess dan tertekan kerana keputusan perlawanan melibatkan wang yang ditaruh.

e- Mendorong rakyat memfokuskan kepada perolehan keuntungan secara cepat tanpa skill, namun akhirnya kerugian sahaja yang lebih kerap menjelma. Manakan tidak, dalam perjudian, peratusan pihak yang menang sentiasa lebih kecil berbanding yag kalah. Bermakna, jika seorang menang dan bergembira atas kemenangannya, yang kalah mungkin 1000 orang yang berduka cita. Dukacita tersebut mungkin tidak berhenti di situ malah berturutan kepada masalah lain, ibarat ‘domino effect'.

f- Kesan buruk kekalahan; kekalahan boleh yang menyebabkan kemarahan, memandu berbahaya di jalan raya, pergaduhan di dalam rumahtangga, kesan psikologi di tempat kerja menyebabkan kurang produktiviti, mungkin dikejar ‘ALONG' kerana berhutang dengan along untuk berjudi.

g- Pemberian lesen itu seolah menjolok sarang Syaitan, kerana kemungkinan ada individu yang tidak begitu terdorong untuk berjudi kerana merasa sukar dek kerana ia merupakan aktiviti gelap dan salah dis isi undang-undang. Namun akibat lesen tersebut, dorongannya semakin kuat dan dipermudah.
NASIHAT
Buat menteri dan pihak berkuasa yang beragama Islam khususnya, sedarilah tegahan Allah :


Ertinya : Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: ""Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat kecil bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya" ( Al-baqarah : 219)

Dan juga larangan selanjutnya

Ertinya ; Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan Syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntu
ngan. ( Al-Maidah : 90)

Justeru itu, saya amat berharap agar Menteri Agama dapat segera memberi panduan dalam hal ini. Jika Menteri Agama sependapat dengan Timbalan Menteri Kewangan, kami sekalu ahli akademik sangat ingin mendengar dan membaca justifikasi dan dalil serta hujjah keharusan tersebut JIKA tiba-tiba Menteri Agama atau mana-mana Mufti bersetuju dengan tindakan itu.
Perlu difahami, hujjah maslahat TIDAK BOLEH digunakan sama sekali dalam hal yang JELAS BERTENTANGAN dengan teks Al-Quran dan Hadis. Tiada maslahat dan tidak termasuk di dalam Maqasid al-Shariah dalam mengharuskan perjudian untuk masyarakat.

Oleh kerana isu perjudian adalah isu ‘Qat'ie di dalam Islam, saya AMAT BERHARAP pihak Salafi, Wahabi, Ahbash, Tradisional Pondok, Tarekat Sufi, Syiah, ahli akademik universiti, tabligh dan semua pihak agar tampil menyatakan pandangan dan bantahan mereka. Paling minima di blog dan website rasmi mereka. Jangan hanya berselisih dan berdebat bertahun-tahun dengan begitu kreatif, tetapi SENYAP SUNYI tanpa kenyataan umum dalam hal sebegini.

Disebutkan di dalam kaedah Fiqhiyyah yang dicatatkan oleh Al-Imam As-Sayuti Al-Shafi'i:-

Ertinya : Tidak diingkari dalam hal yang diperselisihkan (ijtihad ulama), namun sesungguhnya keingkaran (bantahan) adalah pada perkara yang disepakati (haramnya)( Al-Asbah wa Al-Nazair, kaedah no 35, hlm 292 )

Tanpa syak lagi, perjudian adalah tergolong di dalam perkara yang disepakati secara ijma' berkenaan pengHARAMannya. Justeru, bantahan kita dan para ulama terhadapnya adalah SANGAT PERLU.

Jangan biarkan hanya orang politik berkata, kerana apabila orang politik berhujah dan berkata-kata , mereka sering dilihat sebagai bermotif politik. Justeru, kita dan mereka yang tidak di atas tiket politikk perlu bersuara, agar Allah meredhai usaha kita.

BAGI MEREKA YANG INGIN MEMBERIKAN KOMEN TERHADAP ARTIKEL INI, SAYA HARAP TIDAK PERLULAH BERPOLITIK KEPARTIAN DALAM KOMEN ANDA (KERANA IA HANYA AKAN MENGERUHKAN KEADAAN DAN MENYERET KEPADA ISU LAIN), CUKUPLAH BAWAKAN TAMBAHAN RASIONAL DAN JUSTIFIKASI SECARA ILMU DAN BUKAN EMOSI.


Sekian


Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

08 Mei 2010

Original ARTICLE : http://www.zaharuddin.net/content/view/931/72/

wa Allahu a'lam.


..:: bila seorg manusia jahil dgn ketetapan Ilahi, kebinasaan menanti buat semua ::..

Category: 0 comments
Daisypath Vacation tickers
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

..:: Jom Kongsi ::..