HUKUM MEMPERTAHANKAN

 
Assalamualaikum....

Alhamdulillah, syukur ku panjatkan kehadrat ilahi, selawat dan salam buat junjungan mulia nabi kita muhammad salla Allahu alaihi wasallam, keluarga, sahabat, para tabi'e, tabi' tabie, dan semuanya berada dibawah naugan Allah hendaknya... 
 
Ape kabo semua?
moga terus dalam jagaan ALLAH hendaknya..
 
 Kalian pernah dengar dengan hadis baginda salla ALLAHu alaihi wasalam...?
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kalimah yang mempunyai hikmah adalah sesuatu yang hilang daripada orang yang bijaksana, di mana sahaja dia mendapatinya maka dialah yang lebih berhak dengannya”.
Sudah menjadi KEAIBAN yang sangat besar apabila umat islam tidak lagi memandang tinggi kpd ilmu.. mereka memandang enteng saja.. alah ilmu, belajar cukup-cukup makan suda.. bila dapat SPM, Diploma, Ijazah..ok la tu.
Tinggi dah kot ilmu yang ada kat dada tuh, kan islam suh kita berpada??
Astarfirullah, sedarkah kita dengan kemajuan dan kecanggihan ilmu yang telah dikecapi oleh orang bukan Islam. Mereka bukan saja menguasai ilmu-ilmu keduniaan, tp juga telah mula mengkaji AL-quran dan Hadis baginda salla ALLAHu alaihi wasalam,
Bahkan lebih mendasar berbanding dengn kita yang hanya cukup-cukup dipermukaan saja.. huh.. 
malu... malu... pacak muka kalian kat dinding...
 
Abih tu? apa kami nak buat? macam mana nak tambah ilmu?
mudah saja... "MEMBACA"
agak kecewa apabila kebanyakan dari kita hanya berasa cukup dengan apa yang datang kepada mereka....
alah, bukan muqoror (baca:silibus) kot... apakah itu asbab kalian BELAJAR??
membacalah duhai teman!
kalau main PES boleh dua tiga jam..
main bola leh dari pagi sampai petang.. 
apasal membaca kita tak mampu walaupun untuk 10 minit??  
 mengantuk kot membaca nih... ni je la jawapan yang lawas bagi kebanyakan kita...
aneh kan?? kenapa time kita main PES tak  ada pulak terhantuk kepala di skrin tuh...
seorang pelajar dimasukan ke hospital 
kerana mengantuk ketika berlari dipadang.. 
takde kan? 
 
kerana.... kita tak ada minat!
yup, tanam dan semai MINAT untuk belajar.. semacam mana kalian buat masa main PES (contoh mudah.. bukan mainan ni je wujud sekarang ni...)   
cakap senang la bro! cuba buat dulu...
saya tidak mengatakan, saya baik dan saya lebih...
cuma ini yang diajar kepada kita semua.. IQRA'  (baca:bacalah)
nih hah post yang dipost oleh MANHAL PMRAM... ada yg tak tau upenye... (termasuk la diri den ni)
bila tanya, tak tau, tak tau... salah eja kot... macam-macam loh alasan...
lagi senang kalu kata " saya tak tau" 
bacalah, orang dah tolong terjemah dan tulis untuk kita tu.
 
 HUKUM MEMPERTAHANKAN DIRI DARIPADA GANGGUAN ATAU MEMBALAS SERANGAN PENJENAYAH
(حكم دفع الصائل
   
       1. Pendahuluan

Kita sering diberitakan dengan kejadian-kejadian jenayah yang berleluasa dimana-mana sahaja sama ada di negara maju atau negara umat Islam. Punca utama masalah ini adalah jauhnya manusia daripada Allah SubhanaHu wa Taala dan ajaran Islam yang sebenar. 
Persoalan yang  timbul,  mengapakah kemajuan negara-negara Eropah yang terlalu dikagumi oleh golongan sekular dan liberal tidak dapat mengurangkan atau menyelesaikan masalah jenayah yang berlaku di negara mereka? Jawapannya adalah kerana mereka hanya mengejar kemajuan material semata-mata, tanpa mementingkan peningkatan nilai moral dan spiritual dalam masyarakat.Ini juga menunjukkan bahawa kemajuan material tidak menjamin keamanan dan kesejahteraan sesuatu negara, bahkan ideologi-ideologi seperti sekularisma, marxisma, komunis, dan lain-lain yang menjadi dasar, telah terbukti gagal membentuk masyarakat yang baik.
Malangnya di negara umat Islam pula, Islam tidak dipraktikkan secara menyeluruh sebagai dasar negara, undang-undang, pendidikan, ekonomi, dan cara hidup. Malahan mereka sendiri kebanyakannya lebih selesa berkiblatkan Barat dari segi hubungan sosial, budaya, dan pemikiran, namun mereka masih tetap mundur dari segenap segi.Ini semua antara penyebab peningkatan jenayah. Maka sudah sampai masanya untuk kita sebagai satu umat berubah dan  kembali kepada Islam secara keseluruhannya, sama ada perubahan itu berlaku secara serta merta atau berperingkat-peringkat.
                Artikel  ini adalah  sekitar topik hukum mempertahankan diri ketika berdepan dengan serangan penjenayah (seperti pembunuh, perompak, perogol dan lain-lain) atau dengan gangguan dan pencerobohan hak.
      2. Definisi perkara-perkara yang berkaitan
Pergelutan lazimnya berlaku di antara dua pihak;
                    I.-Penjenayah /penyerang /penceroboh (المعتدي على الغيرالصائل) : Iaitu seseorang yang menyerang muslim [begitu juga seseorang yang ( معصوم الدم ) seperti seorang Zhimmi
(الكافر الذمي)         ] dengan tujuan mencederakan atau memudaratkan, sama ada pada tubuh badan, maruah, dan harta.[1]
                  II. -Mangsa ( :( المصول عليه، المعتدى عليه  Seseorang muslim yang diganggu haknya, atau diserang, atau diancam dengan sesuatu bahaya… Atau;
-Pembela (المدافع عن الغير  ): Iaitu orang yang mempertahankan mangsa.
    3.Hukum mempertahankan diri
Berbeza mengikut keadaan, adakalanya hukumnya wajib, dan adakalanya bersifat harus (dibolehkan), mengikut keadaan tertentu, beserta syarat-syaratnya yang tertentu yang akan dijelaskan kemudian.
Mangsa atau pembelanya hendaklah memilih  tindakan yang ringan sebelum yang berat misalnya;
·         jika jenayah dapat dihalang dengan kata-kata dan minta pertolongan, maka haram dia memukul penjenayah.
·         Manakala jika dia mampu menghalang penjenayah dengan memukul menggunakan tangan kosong, haram dia memukul dengan menggunakan senjata.
·         Jika dia mampu menghalang dengan memotong satu anggota badan penjenayah, haram dia membunuh. Namun jika jenayah tidak dapat dihalang melainkan dengan cara membunuh maka membunuh penjenayah tersebut dibolehkan (harus hukumnya).
·         Jika penjenayah menghunuskan pisau atau pedang dan berkemungkinan membunuh, mangsa atau pembelanya dibolehkan (harus) bertindak membunuh penjenayah tersebut, kerana jika dia meminta pertolongan nescaya dia akan dibunuh penjenayah tersebut sebelum datangnya bantuan orang lain.
Hukum mempertahankan diri dan membalas serangan penjenayah diharuskan adalah kerana Dharurat (perkara yang tidak dapat di elak), dan kaedah fiqh ada menyebutkan bahawa (  الضرورة تقدر بقدرها  ), iaitu Dharurat hendaklah ditentukan dengan kadarnya yang perlu sahaja (tidak lebih).[2]
      4.Dalil-dalil berkaitan hukum mempertahankan diri
Firman Allah SubhanaHu wa Taala,  antaranya:
فَمَنِ ٱعۡتَدَىٰ عَلَيۡكُمۡ فَٱعۡتَدُواْ عَلَيۡهِ بِمِثۡلِ مَا ٱعۡتَدَىٰ عَلَيۡكُمۡ‌ۚ 
وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُتَّقِينَ 

194....Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan (penganiayaan) terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu secara seimbang (adil/sesuai) dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.( 002. Al Baqarah: 194.)
وَجَزَٲٓؤُاْ سَيِّئَةٍ۬ سَيِّئَةٌ۬ مِّثۡلُهَا‌ۖ فَمَنۡ عَفَا وَأَصۡلَحَ فَأَجۡرُهُ ۥ عَلَى ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ

40. Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.(042. Asy Syuura: 40 )
Penjelasan:
                    I.            Ayat di atas menjelaskan bahawa membalas penindasan /pencero
                   bohan/serangan yang  diharuskan, adalah  dilakukan dengan cara yang adil (iaitu sama kadar dan tidak berlebihan).[3]
                  II.            Perintah bertakwa dalam ayat  menunjukkan bahawa tindakan membalas kerana mempertahankan diri mestilah didasari prinsip berpada-pada (tidak melampau) dan hendaklah dilakukan secara berperingkat-peringkat agar balasan ke atas penyerang /penjenayah  tidak berlebihan daripada perbuatannya ke atas mangsa.[4]
                III.            Maka tindakan mangsa yang dibenarkan Syarak adalah hanya sekadar untuk melepaskan dirinya atau mangsa serta menghentikan serangan penjenayah dan tidak lebih dari itu.
Sabda Rasul Allah SallAllahu Alihi Wa Sallam, antaranya:
"مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دِينِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أَهْلِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ ".
(عبد الرزاق ، وأحمد ، والعدنى ، وعبد بن حميد ، وأبو داود ، والترمذى - حسن صحيح - والنسائى ، وأبو يعلى ، والبيهقى ، والضياء عن سعيد بن زيد)
 أخرجه عبد الرزاق (10/114 ، رقم 18565) . وأحمد (1/190 ، رقم 1652) ، و عبد بن حميد (1/66 ، رقم 106) ، وأبو داود (4/246 ، رقم 4772) ، والترمذى (4/30 ، رقم 1421) وقال : حسن صحيح . والنسائى (7/116 ، رقم 4095) ، وأبو يعلى (2/248 ، رقم 949) ، والبيهقى (3/266 ، رقم 5858) ، والضياء (3/292 ، رقم 1092) وقال : إسناده حسن .[5]
Mafhumnya:
Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan  hartanya maka dia adalah syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan  darahnya (nyawa) maka dia adalah syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan  agamanya  maka dia adalah syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan  keluarganya maka dia adalah syahid.[6]
Hadith tentang tuntutan membela mangsa dan menghalang seseorang daripada menzalimi atau dizalimi:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  :" انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا.
 " قَالُوا: " يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا نَنْصُرُهُ مَظْلُومًا فَكَيْفَ نَنْصُرُهُ ظَالِمًا ؟ "
... قَالَ :" تَأْخُذُ فَوْقَ يَدَيْه...."[7]
Mafhumnya:
Sabda Rasul Allah SallAllahu Alihi Wa Sallam :
“Bantulah saudaramu yang zalim atau dizalimi”. Para sahabat bertanya: Ini kami membantunya kerana dizalimi, bagaimana pula membantu orang yang zalim? Jawab  Baginda : “Kamu ambil kekuasannya” (sekat dan halang kezalimannya).
Hadith lain:
" مَنْ أُذِلَّ عِنْدَهُ مُؤْمِنٌ فَلَمْ يَنْصُرْهُ وَهُوَ قَادِرٌ عَلَى أَنْ يَنْصُرَهُ
أَذَلَّهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى رُءُوسِ الْخَلَائِقِ يَوْمَ الْقِيَامَة  "[8]
Mafhumnya:
Sesiapa yang mendapati seorang mukmin dihinakan (dizalimi)sedangkan dia mampu membela /menolong, akan Allah hinakan (malukan ) dia di hadapan sekalian makhluk pada Hari Kiamat.
       5. Jenis-jenis serangan atau jenayah serta perincian hukumnya
Seseorang yang mengetahui serta mampu membela mangsa daripada diserang dan menghalang jenayah, wajib mempertahankan mangsa dalam apa pun keadaan, lebih-lebih lagi jenayah berkaitan nyawa seorang muslim dan maruah seorang perempuan, sekalipun pembela tersebut dibunuh.[9]
Manakala mangsa pula, terdapat perincian hukum baginya:
                    I.         Serangan/ jenayah keatas nyawa:
Iaitu serangan tersebut sama ada bertujuan membunuh atau membahayakan tubuh mangsa seperti memukul, menumbuk, melukakan dan lain-lain.
Hukum:
Mazhab Syafie:[10]
·         Wajib: Jika penjenayah bukan seorang muslim, mangsa wajib mempertahankan dirinya. Begitu juga hukumnya jika seseorang diserang oleh binatang buas, dia tidak boleh membiarkan dirinya menjadi mangsa.
·         Harus: Jika penjenayah seorang muslim, mangsa diberi pilihan oleh Syarak sama ada mempertahankan dirinya ataupun tidak.
Mazhab Maliki dan Hanafi:
·         Wajib: Setelah penjenayah diberi peringatan, iaitu jika  penjenayah masih tidak tertegah dengan kata-kata. Ini adalah syarat disisi mazhab Maliki.[11]
Mazhab Hanbali:
·         Harus: Walaupun penyerang/penjenayah sama ada seorang kanak-kanak atau dewasa, orang  gila ataupun berakal.[12]
                  II.           Serangan/ jenayah keatas maruah:
Iaitu sama ada pemerkosaan atau bentuk-bentuk gangguan seksual (muqaddimah zina seperti mencium, meraba dan lain-lain).
Hukum:
·         Wajib: Mangsa wajib mempertahankan dirinya walau apa jua keadaan sekalipun, semampu mungkin, sekalipun dibunuh atau membunuh. Pendapat ini disepakati fuqaha.[13]

                III.            Serangan/ jenayah keatas harta:
Iaitu dengan cara merampas, merompak, memusnahkan harta mangsa dan seumpamanya.
Hukum :
Jumhur fuqaha:
·         Harus: Mangsa tidak wajib mempertahankan hartanya, namun dibolehkan. 
Mazhab Maliki:
·         Harus: Jika harta tersebut kecil nilainya. Ini adalah pendapat sebahagian daripada ulama Maliki.
·         Wajib: Sebahagian yang lain berpendapat dengan pendapat ini, dengan syarat penjenayah telah ditegah dengan kata-kata seperti di atas.[14]
Mazhab Syafie:
·         Wajib: Jika harta tersebut bukan milik mangsa, dan dia hanya pemegang amanah seperti pemimpin negara, penguasa tentera[15] bagi harta negara dan lain-lain seperti harta yang berkaitan dengan   pajakan ( الرهن ) dan penyewaan الإجارة ).Begitu juga hukumnya mempertahankan harta yang bernyawa (haiwan) jika penjenayah bertujuan hanya membinasakanya (bukan memanfaatkannya), mengikut pendapat yang terkuat dalam mazhab Syafie.[16]
·         Harus: Mangsa tidak wajib mempertahankan harta miliknya, namun dibolehkan oleh Syarak.[17]
           
    6. Syarat-syarat pengharusan mempertahankan diri dan membalas serangan penjenayah[18]
                    I.            Tindakan yang dilakukan oleh penyerang adalah satu bentuk jenayah atau kezaliman (melakukan sesuatu tanpa hak).
                  II.            Serangan tersebut benar-benar berlaku, bukan semata-mata kata-kata ancaman daripada penjenayah. Misalnya seseorang yang mengugut bunuh sedangkan dia tidak mempunyai senjata dan tidak melakukan apa-apa, maka mangsa tidak bolehmengambil tindakan membunuh penjenayah tersebut hanya semata-mata kerana ugutannya.
                III.            Mangsa tidak dapat melepaskan dirinya melainkan dengan membalas tindakan yang sama yang dilakukan oleh penjenayah, seperti memukul,menendang dan lain-lain. 
                IV.            Tindakan membalas hanya sekadar perlu dan tidak keterlaluan. Jika mangsa dapat melepaskan diri dengan cara menjerit meminta pertolongan dia tidak boleh terus memukul penjenayah.
     7. Isu-isu lain yang berkaitan
Kecederaan dan kematian penjenayah 

Jika penjenayah cedera/menjadi cacat/terbunuh dengan sebab tindakan mangsa/pembelanya, sama ada;
                    I.            Tanpa sengaja: Iaitu tindakan mempertahankan diri tersebut hanya bertujuan melepaskan diri dan bukan bertujuan menzalimi. 
Hukum: Orang yang mencederakan tersebut tidak berdosa dan tidak akan dikenakan apa-apa hukuman. Penjenayah atau warisnya pula, tidak berhak menuntut apa-apa ganti rugi apabila berlaku kecederaan/kecacatan atau kematian.
Atau;
                  II.            Dengan  sengaja mencederakan penjenayah:
Maka salah satu daripada dua keadaan, iaitu:
·         Kerana darurat: Iaitu tindakannya hanya untuk melepaskan diri daripada penjenayah, bersesuaian dan bertindak sekadar yang perlu.
Hukum:
Sama seperti tindakan mencederakan penjenayah tanpa sengaja yang telah disebutkan di atas, kerana mangsa atau pembelanya berhak berbuat demikian dan kecederaan penjenayah tersebut seolah-olah akibat perbuatannya sendiri.
Atau;
·         Tanpa keperluan:
Contohnya seorang peragut (tanpa mencederakan mangsa) dibelasah sehingga cedera atau mati.
Hukumnya:
Haram dan orang yang cedera tersebut atau warisnya (dalam kes kematian) berhak menuntut balas Qisas (القصاص )atau ganti rugi Diah ( الدية ) atas kecederaannya/kematian melalui proses mahkamah berkaitan bab Qisas dan Diah.[19]
Mengintai rumah orang atau menceroboh hak privasi
Jika seseorang mengintai rumah orang lain melalui lubang atau celahan pintu lalu cedera dengan sebab dibaling batu kecil atau dijolok oleh tuan rumah dengan kayu, pengintai  tersebut tidak berhak menuntut hak Qisas atau Diah atas kecederaannya.
Namun jika dia cedera dengan benda yang boleh membunuhnya seperti besi atau panah, maka orang yang mencederakan boleh dikenakan Qisas atau Diah.Ini adalah pendapat mazhab Syafie dan Hanbali, berbeza dengan pendapat mazhab Hanafi dan Maliki yang tetap mewajibkan Qisas atau Diah dalam kedua-dua keadaan yang disebutkan diatas.
Perbezaan pendapat di atas berlaku dalam kes apabila seseorang itu mengintai dari luar rumah. Manakala jika seseorang itu menceroboh masuk atau hanya menghulurkan kepalanya ke dalam rumah orang lain lalu dicederakan, maka dia tidak berhak menuntut apa-apa ganti rugi atau hukuman secara Ijma’ ulama.[20]
      
      8.Penutup
Secara fitrahnyaseorang manusia yang normal sentisa menginginkan hidupnya aman tenteram dan sejahtera. Sudah pasti dia tidak suka diri dan keluarganya diganggu, dizalimi apalagi dicabuli. Islam datang bagi memastikan setiap individu mendapat hak masing-masing dengan adil dan saksama. Dengan sebab itulah disyariatkan undang-undang jenayah dan kehakiman ( أحكام القضاء والجنايات ), kekeluargaandan perwarisan harta ( أحكام الأسرة والمواريث ), urusniaga (أحكام البيوع والمعاملات  ), pentadbiran dan kepimpinan ( أحكام الولاية و الإمارة ) beserta hukum-hakamnya demi menjaga maslahat manusia dan hak sesama mereka (الحقوق بين العباد ),disamping pensyariatan hukum hakam berkaitan ibadat ( أحكام العبادات ) demi menjaga hak dan hubungan antara hambadan Allah Taala (الحقوق بينالعباد و رب العباد).
Maka teramat-amat benarlah firman Allah SubhanaHu waTaala:
ٱلۡيَوۡمَ يَٮِٕسَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن دِينِكُمۡ فَلَا تَخۡشَوۡهُمۡ وَٱخۡشَوۡنِ‌ۚ ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَـٰمَ دِينً۬ا‌ۚ
3…Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya).sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu…(005. Al Maidah: 3).
والله سبحانه وتعالى أعلم، اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه كلما ذكرك وذكرها لذاكرون وغفل عن ذكرك وذكره الغافلون وعلينا معهم برحمتك يا أرحم الراحمين والحمدلله رب العالمين...
 
Disediakan oleh : 
Mohd Farid Bin Yahaya
Felo MANHAL PMRAM
16 Safar 1433,
10 Jan 2012

RUJUKAN  :
[1]Dr.Mustafa Al Khin, Dr.Mustafa Al Bugha, dan Ali As Syirbajy, Al Fiqh Al Manhajy, Dar Al Kalam: Damsyik, 2011, jil.3, m.s 451.
[2] Lihat Dr. Wahbah Az Zuhaily,  Al Fiqh Al Islamy Wa Adillatuh, Dar Al Fikr: Damsyik, 2007, jil. 6, m.s 4837-4838.
[3]Op. cit, Dr.Mustafa Al Khin, dll., jil.3, m.s 452.
[4]Op. cit, Dr. Wahbah Az Zuhaily, jil. 6, m.s 4838.
[5]Hadith no.6049, Imam Jalaluddin As Suyuthy, Jam’ Al Jawami’,  ( جمع الجوامع أو الجامع الكبير للسيوطي) , Maktaba Shamela, sumber ;موقع ملتقى أهل الحديث .
Hadith no.22679/4183, Imam Jalaluddin As Suyuthy, Jam’ Al Jawami’ , Al Azhar As Syarif: Kaherah, 2005, jil. 9, m.s 742.
[6] Lihat: Imam Muhammad Al Mubarakfury, Tuhfat Al Ahwadzi (تحفة الأحوذي بشرح جامع الترمذي ), Dar Al Hadith: Kaherah, 2001,jil.4, m.s 333-334.
[7] Hadith no. 2484, Sohih Al Bukhary, Jam’eyah Al Maknaz Al Islamy: Jerman , 2000, jil. 1, m.s 459.
 Nashkah Sulthoniyah, juz 3, m.s 128-129.
[8] Hadith no. 15985, Musnad Imam Ahmad Ibn Hanbal, Maktaba Shamela, sumber; Muassasa Resala
[9]Lihat: Op. cit, Dr. Wahbah Az Zuhaily, jil. 6, m.s 4845-4846.
[10]Lihat: Op. cit, Dr.Mustafa Al Khin, dll., jil.3, m.s 451-452. Hukum yang disebutkan di sini adalah mengikut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie.
[11]Lihat: Op. cit, Dr. Wahbah Az-Zuhaily, jil. 6, m.s 4842.
[12]Lihat: Ibid, jil. 6, m.s 4842.
[13]Lihat: Ibid, jil. 6, m.s 4845.
[14]Lihat: Ibid, jil. 6, m.s 4849.
[15]Lihat: Op. cit, Dr.Mustafa Al Khin, dll., jil.3, m.s 453.
[16]Lihat: Op. cit, Dr. Wahbah Az Zuhaily, jil. 6, m.s 4850.
[17]Lihat: Op. cit, Dr.Mustafa Al Khin, dll., jil.3, m.s 452-453.
[18]Op. cit, Dr. Wahbah Az Zuhaily, jil. 6, m.s 4840-4841.
[19]Lihat: Ibid, jil. 6, m.s 4839, m.s 4843 .
[20]Lihat: Ibid, jil. 6, m.s 4847- 4849 .
link asal sini MANHAL PMRAM
wa ALLAHu a'lam
 
Daisypath Vacation tickers
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

..:: Jom Kongsi ::..