Assalamualaikum....
Alhamdulillah, syukur ku panjatkan kehadrat ilahi, selawat dan salam buat junjungan mulia nabi kita muhammad salla Allahu alaihi wasallam, keluarga, sahabat, para tabi'e, tabi' tabie, dan semuanya saudara seakidah ku semoga dalam dakapan dan lembayung kasih dan sayang Allah taala... aamin..
Sedari sekolah rendah lagi kita teramat sinonim dengan pantun :
Buah cempedak di luar pagar,
Tolong jolokkan,
saya budak baru belajar,
mohon tunjukkan.
Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Agama itu adalah nasihat.” Kami berkata: “Untuk siapa?” Baginda bersabda: “Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya.”
Hadis riwayat al-lmam Muslim.
Agama Islam adalah agama Allah, dan agama menurut Rasulullah SAW adalah nasihat yang terbaik untuk umatnya. Dalam Bahasa Arab, nasihat membawa maksud yang dinasihati akan mendapat faedah daripada nasihat yang telah diberi. Ia juga membawa erti bahawa yang menasihati hendaklah menggunakan perkataan yang terbaik dan ikhlas bersih dari maksud yang tidak baik.
Perkara biasa dan lumrah bagi seorag manusia, apabila ditegur dan dinasihati akan terasa hina dan aibnya telah pecah, sedangkan sedarlah duhai saudara ku, teguran bukan memburukkan kamu tetapi sebagai tapai penyedap yang tidak menuntut banyak, tapi berpada pada secubit telah menyedapkan makanan.
Demikianlah halnya teguran dan nasihat,. Bagi seorang pendakwah mereka perlu bijak dalam merungkai dan menyusun kata-kata agar tampak indah dan berpatutan pada sandaran agamanya. Bukan desakan memaksa menjadi pilihan di medan dakwah, sebaliknya kalam-kalam pukauan manja perlu di alunkan agar hati yang keras kian rapuh kembali kepada fitrah.
Jom kita selak-selak sirah mulia rasulullah salla Allahu alaihi wasalam, di awal dakwah baginda salla Allahu alaihi wasalam tidak sesekali memaksa bahkan terus tekun mendampingi ummah baginda tanpa tampak sebarang paksaan. Lihat sahaja pada pengislaman saidina Ali, beliau memeluk Islam kerana penampilan baginda yang begitu utuh dalam menyampaikan risalah tauhid.
Ingatkah kalian pada malam berkumpulnya kaum kerabat baginda salla Allahu alaihi wasalam di rumah Abu Talib bapa saudara baginda dalam tujuan memperjelaskan serta mengajak kaum kerabat baginda kembali mentauhidkan Allah taala. Dalam pada itu saidina Ali tanpa segan silu tampil dan menyatakan keislamnya, di mana ketika itu kebanyakan dari kerabat baginda begitu marah kepada Ali, sehinggalah bangkit seorang dari mereka lalu bertanya kepada Ali.
“Duhai Ali, apakah kamu telah termakan sihir Muhammad, ataupun kamu telah dipaksa olehnya?”
Dengan tenang dan lapang dada saidina Ali radia Allahu anhu membalas.
“ Sesungguhnya aku tidak pernah dipaksa bahkan ini adalah pilihan ku sendiri.”
Nah teman seakidah ku.
Ini kerana, hati manusia pada fitrah adalah suci bersinar dengan keimanan semata-mata kerana Allah taala. Hati kita seumpama seorang anak yang sedari lahir di serahkan kepada ibu tiri. Maka membesarlah si anak dalam dakapan ibu tiri sehinggalah suatu hari si anak berminat ingin mengenali siapakah gerangan si ibu kangdungnya. Berusaha, berkeringat dalam usaha mencari siapakah ibu kandungnya. Alhamdulillah, cerita berakhir dangan si anak bertemu dengan si ibu dalam keadaan ibunya agak begitu dhaif dan fakir. Sedangkan kehidupan sebelumnya bersama ibu tiri dalam kemewahan yang tak kepalang banyakanya. Soalanya adakah si anak dengan mudah menerima kehadiran ibu kandungnya??
Ya, secara fitrahnya si anak akan terasa belas dan kasih pada ibu kandungnya, tapi atas desakan nafsu dan terikut-ikut pada godaan syaitan maka si anak berhipokrik dengan diri. Ego menguasai diri sehinggakan tidak sanggup mengzahirkan kebenaran tersebut , sedangkan itulah ibu kandung yang selama ini dicari. Kenapa?
Kerana sudah biasa. Banyak manusia amat sukar lari dari kebiasaan sekalipun jelas terpesong dari landasan syarak. Mereka merasa selesa kerana terbiasa walaupu azab Allah taala termaktub jelas pada kalam-kalam sucinya. Untuk itu, sebaiknya nasihatlah secara berhikmah :
1.Meluruskan niat sebelum menasihati
2.Menjaga ukhuwah semasa menasihati
3.Bersih hati semasa menasihati.
4.Memikirkan cara yang terbaik untuk menasihati saudara
5.Memberi waktu dan kesempatan untuk berubah.
Hati bukanlah sesuatu yang mudah di rapi, tidak seperti wajah kita luaran yang mampu kita solek sehingga jelas keangunannya. Oleh itu teman seakidahku, nasihat dan teguran adalah sesuatu yang perlu dalam kita mengorak langkah pada jalan menuju syurga Allah taala, bagaimana kita menjamin teguran tersebut benar pada syarak?
1-Banyakkan membaca Al-quran dan hadis baginda salla Allhu alaihi wasalam.
2-Perdekatkan diri dengan kuliah-kuliah agama.
3-Bergaulah dengan para ulama’ dan ilmuan agama, sekalipun berstatus seorang ustaz.
4-Rapat-rapatkan diri dengan teman-teman yang melabuhkan cintanya hanya kepada Allah taala dan sedia mengikut sunnah baginda salla Allahu alihi wasalam.
5-semestinya, banyakkan berdoa kepada Allah agar kita di tetapkan hati pada jalan ini, serta di kurniakan seorang teman yang mampu membawa kepada cintaNya.
Mudah bukan??
Tunggu apa lagi? Jom kita sama-sama merubah dan berubah demi redho sang pencipta..
Bukalah selapang-lapangnya dada kalian untuk menerima nasihat dan teguran dari teman,guru, musuh, malah terlebih utama untuk kalian mendengar nasihat dari junjungan mulia nabi salla Allahu alaihi wasalam dan menuruti dengan tekun nasihat dari Sang pencipta berpandukan pada kitab mulia Al-quran nulkarim.
Firman Allah bermaksud:
“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-’Asr, ayat 1-3)
Teringat pada ucapan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq ketika menyampaikan ucapan dasarnya berkata: “Apabila aku melakukan sesuatu yang betul maka bantulah aku, dan apabila aku menyeleweng maka perbetulkan daku.”
Akhirnya, nasihat kepada umat Islam seluruhnya mencerminkan kesatuan hati dan keserasian jiwa orang Islam dalam menelusuri titian hidup penuh pancaroba.
Nasihat ini termasuk dalam segala tindak tanduk dan kegiatan kemasyarakatan supaya ia selari dengan landasan Islam.
Ia merangkumi hubungan institusi kekeluargaan, sesama jiran, masyarakat dan juga dalam pelbagai lapangan hidup manusia.
Ringkasnya, nasihat memainkan peranan penting kerana ia bakal menyuburkan perasaan kasih sayang dan kerjasama yang erat sesama anggota masyarakat bagi mengekalkan kelangsungan masyarakat yang harmoni lagi sejahtera.
Demikianlah indahnya konsep nasihat menasihat dalam Islam yang mencorakkan identiti sebuah masyarakat Islam yang sejahtera lagi harmoni.
Natijahnya, kesatuan ummah dapat dijana di samping pengukuhan iman kepada Allah selain perhiasan ketrampilan akhlak
Wa Allahu a’lam.
Kasih sayang Allah
1 week ago
No comments:
Post a Comment