Alhamdulillah, syukur ku panjatkan kehadrat ilahi, selawat dan salam buat junjungan mulia nabi kita muhammad salla Allahu alaihi wasallam, keluarga, sahabat, para tabi'e, tabi' tabie, serta semua ulama semoga dibawah naugan Allah hendaknya... aaamin...
selamat malam bumi kinanah....
Rehat2 sambil singgah2 kat blog teman2....
Menjejakkan kaki bumi seribu menara satu keajaiban buat sang fakir, sedikit perkongsian buat pembaca sekalian, jom ngomong2 pasal mesir....
Kinanah, ibu dunia, kota seribu menara dan banyak lagi nama untuk bumi bertuah ini.
Melangkah ke bumi seribu menara, muzium raksasa ini pastinya mengundang seribu satu macam keanehan dan ketakjuban, lebih lebih lagilah mereka yang pertama kalinya menjejakkan kakinya le bumi kinanah ini. Dengan peradabannya yang telah dimulai sejak sekitar 7000 tahun yang lampau Mesir masih gah menyenaraikan dirinya dalam senarai dunia sebagai sebuah negara yang pernah mencatatkan tamadunnya yang agung. Contohnya Pyramid dan Sphinx yang telah menjangkau usia berabad lamanya, namun masih berdiri kukuh dan masih dapat dilihat dengan jelas hingga ke hari ini.
Tidak hairanlah, setiap langkah yang kita susuri di bumi Anbiyak ini pernah mencatatkan cerita dan nostalgia yang masih terukir sehingga ke hari ini. Kalau kita ada kelapangan untuk berjalan dan menggelilingi sekitar bumi Mesir ini, kita dapat melihat dengan jelas, rata-rata bangunannya sangat usang dan dindingnya yang bertampal, serta atapnya yang berdebu tebal, dinding yang lusuh, dan kebanyakan bangunannya berwarna kelabu. Mungkin kerana bumi ini yang sentiasa berdebu, di kelilingi oleh padang pasir dan sering dilanda ribut pasir, justeru memilih warna kelabu adalah pilihan yang paling selamat, untuk mengelakkan pencemaran dinding bangunan untuk jangka panjang. Di dalam bangunan usang itu jugalah pelbagai generasi silih berganti meneruskan kehidupan berabad abad lamanya.
Bercakap tentang sosio budaya masyarakat, rata-rata secara umum, Islam tidaklah sepenuhnya dimenifestasikan dalam kehidupan rakyatnya, dan kekuatan beragama pada aspek tertentu kelihatan semakin luntur. Untunglah fenomena Arab Islam dalam sosial budaya masyarakat Mesir masih sangat menonjol. Kalaulah bukan peranan dan perjuangan ulama’ Islam sudah pastilah telah lama bangsa Arab ini melepaskan ikatan Islam di dalam kehidupan mereka secara total.
Meskipun rakyat Mesir terpaksa ‘berkerat rotan berpatah arang’, menyaring budaya kuning yang saban hari menujah pemikiran anak bangsa mereka, sama ada melalui media cetak, telivisyen atau pelancongan, kehidupan beragama masih dapat kita perhatikan di mana-mana. Alunan bacaan al-quran masih dapat kita dengari sama ada di kedai-kedai Arab, mahu pun dalam kenderaan, yang adakalanya terpaksa bersaing dengan lagu pop yang menjadi kegemaran anak muda Arab, seperti Amru Diyab, Majdah Rumi, Diana Haddad, Hisyam Abbas dan lain-lain lagi. Tulisan bertulis ayat al-quran juga masih banyak kelihatan di dinding bangunan, pintu-pintu rumah, malah kalau kita perhatikan di tembok tembok tapak bangunan yang belum dibina kita dapat perhatikan ‘kalamullah’ adakalanya dipaparkan dengan tulisan tangan dengan nyata.
Tentang kehidupan umum masyarakat Mesir, kita menyaksikan budaya masyarakat kaya yang gemarkan kereta mewah sementara di aspek lain lain kita juga dapat menyaksikan orang miskin yang mengenderai haiwan kaldai sebagai tunggangan, sumber untuk mendapatkan sesuap rezeki menyambung kehidupan. Pada beberapa aspek lain juga, kita boleh katakan bangsa Mesir ini sangat beradab sopan dan tinggi budi pekertinya, contohnya mereka suka tolong menolong dan membantu orang orang tua. Hinggakan adakalanya kita terlihat penumpang teksi yang membantu pemandu menolak kenderaan mereka yang rosak. Fenomena begini tentulah sukar dilihat di negara kita sendiri. Di dalam bas juga kaum wanita sering mendapat priority untuk duduk. Anak anak muda dan kaum lelaki sering mendahulukan orang tua dan kaum wanita mereka untuk duduk di dalam kenderaan awam. Di samping itu kita tidak nafikan sifat negatif seperti pembengis, suka marah marah, mencela, sikap puas, bangga dan memuja keadaan yang sedia ada sehingga muncul ungkapan memuja bumi tanah air mereka sepeti ‘Misr Ummud Dunya’, ‘Misr Ahsan Fil Alam’ dan lain lain lagi.
Bangsa Mesir merupakan bangsa yang memiliki citra dan wawasan yang tersendiri. Di tengah-tengah desakan hidup dan kepayahan yang bertumpang tindih dalam kehidupan mereka, kita melihat bangsa ini masih mampu tersenyum dalam kesukaran dan kepayahan mereka meneruskan hidup, dalam keadaan rakyat peribumi mereka hidup dengan serba kepayahan dan bersesak-sesak di mana-mana, kerana kepadatan penduduk. Masyarakat Mesir memang satu bangsa yang tidak kenal erti rendah diri atau ‘inferiority complex’, baik orang miskin mahupun orang kaya. Keramahan mereka yang luar biasa juga adakalanya amat merimaskan, terutamanya bagi orang Malaysia seperti kita yang tidak gemar begurau keterlaluan atau ‘over acting’. Lebih lebih lagi bila diajukan pertanyaan yang adakalanya langsung tidak munasabah dan lojik, lebih layak dikatakan soalan bodoh. Bagi mereka, orang Malaysia yang belajar di sini sama saja, jika pada pandangan mereka kita telah melakukan suatu yang menyalahi, lantas ditengking sesuka hati tanpa teragak-agak, tak kira siapa, ustaz ke..., orang tua ke..., atau orang perempuan, bagi mereka semuanya sama saja.
Meminum ‘syai’ merupakan satu kegemaran yang tak asing lagi pada bangsa ini, bahkan merupakan satu kebanggaan dan tanda penghormatan kepada para tetamu yang berkunjung. Kalau anda sedang berehat, tiba tiba dikejutkan dengan sorakan, anda jangan terperanjat kerana itu adalah sorakan penonton perlawanan bola yang merupakan satu permainan yang paling digemari oleh bangsa ini. Anda mungkin pernah menyaksikan anak bangsa ini bermain sepanjang hari dan adakalanya sampai ke larut malam. Suatu hobi yang tidak mungkin dapat dipisahkan dengan bangsa mereka yang telah berakar umbi sejak nenek moyang mereka.
Bangsa Mesir juga dikenal sebagai bangsa yang mempunyai ikatan kekeluargaan yang erat. Rata-rata kita dapat lihat, anak-anak berjalan berdampingan dengan ayah dan ibu mereka, berpegang-pegangan tangan, berbual rancak dan mesra, tak kering idea. Kadang-kadang kita merasa sangsi adakah mereka berbual sesama anak-beranak atau dengan orang lain yang baru mereka kenal. Ini kerana pemandangan begini sukar dilihat pada bangsa kita sendiri. Mereka sering berjalan berpegang pegangan tangan. Demikian juga dengan pasangan suami isteri, meskipun usia perkahwinan menjangkau separuh abad, namun keintiman dan sifat romantik masih jelas dapat kita saksikan. Mereka masih boleh berbicara panjang lebar dan berbual mesra. Mereka berjalan seiring dan saling berpimpinan tangan, melambangkan bangsa ini sangat memelihara hubungan kekeluargaan dan ikatan sesama mereka. Seorang Jerman menyuarakan komentarnya: Saya sangat kagum bagaimana bangsa ini dapat meneruskan hidup di tengah tengah kesesakan dan kepadatan penduduk, kecelaruan yang bersimpang-perenang, penempatan yang tidak sistematik. Kalau bangsa lain menghadapi keadaan sebegini rupa nescaya timbul pelbagai krisis yang tidak diduga..” ujarnya. Sorang wartawan Cina pernah menyuarakan: Yang menjadi perhatian saya terhadap bangsa ini adalah sikap puas, merasa cukup dan berpada dengan apa yang ada, ini kerana dorongan spritual dalam kehidupan mereka” Beliau menjelaskan lagi: Saya sering memerhatikan ‘bawwab’ di hadapan rumah saya yang hidup seadanya, hanya dengan ruang rumah di lantai ‘ardhiyyah’ yang kecil dan satu kamar mandi, sudah cukup untuk menaungi kehidupan mereka sekeluarga. Meskipun begitu, saya tidak pernah mendengar mereka mengeluh dengan kehidupan mereka, bahkan mereka masih mampu tersenyum dan bergurau senda.
Orang orang cacat juga masih mendapat tempat di dalam kehidupan sosial, masih berpeluang untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat universiri. Dengan bantuan rakan-rakan seperjuangan yang sanggup berkorban memikul rakannya yang cacat menaiki bas dan memanjat tangga bangunan, mereka dapat meneruskan kehidupan seperti orang lain yang sempurna. Demikianlan tabahnya bangsa ini dan sikap tolong-menolong, serta pengorbanan yang bukan kepalang dan begitu sukar untuk kita saksikan di dalam masyarakat kita sendiri.
_________________________
Sumber asal tidak diketahui.
Sesiapa rasa ini adalah tulisan dia, maka sang fakir mohon kongsi kat sini ye...
Ni ketemu kat dalam disc simpanan... jadi kongsi la kat sini untuk semua...
Inilah realiti.....
ok la, siap2 untuk imtihan yang berbaki dua madah...
No comments:
Post a Comment