Tafakur Sebelum Tidur

Assalamualaikum....
Alhamdulillah, syukur ku panjatkan kehadrat ilahi, selawat dan salam buat junjungan mulia nabi kita muhammad salla Allahu alaihi wasallam, keluarga, sahabat, para tabi'e, tabi' tabie, serta semua ulama semoga dibawah naugan Allah hendaknya... aaamin...

Sediakan masa kalian untuk membaca artikal ini sampai habis...


Setiap malam sebelum kita merebahkan diri, sebelum kita melelapkan mata, sebelum diri diulit mimpi; bertafakurlah sebentar dan cuba tanya-tanyakan pada diri kita: "Apakah sudah meningkat ketaqwaanku pada hari ini?


"Apakah sudah meningkat amalan kesolehanku pada hari ini? Putar dan putar kotak fikiran kita. Imbas kembali setiap gerak langkah pada sepanjang siang tadi. Bandingkan amalan semalam dengan amalan hari ini. Seandainya amalan hari ini semakin baik, itu tandanya sudah ada peningkatan taqwa dalam diri. Tidak kiralah sama ada amalan itu berkaitan dengan urusan hablumminallah (hubungan dengan Allah) atau hablumminannas (hubungan dengan manusia).


Bukti ketaqwa semakin meningkat bukan pada banyaknya kerja yang kita lakukan pada hari itu tetapi kesungguhan kita di dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah swt.


Jika taqwa kita sudah meningkat, bererti kesolehan kita juga sudah meningkat kerana gabungan iman dan taqwa melayakkan seorang lelaki atau wanita itu bergelar 'soleh' atau 'solehah'. Namun begitu, sejauh mana kita telah mencapai darjat lelaki soleh atau wanita solehah itu? Sudahkah kita berjaya memilikinya? Oleh itu marilah kita suluh diri kita.


Di antara ciri-ciri lelaki soleh atau wanita solehah itu ialah:

Hati kita mestilah sentiasa terpaut (teringat-ingat) kepada Allah swt. Kita mestilah merasakan segala ketaatan dan amal ibadah kita itu, bukan daripada diri kita. Sebaliknya itulah kurniaan Allah kepada diri kita. Apabila mendapat nikmat dan kesenangan, kita tidak leka dengannya tetapi hati kita terus terkenang kepada Allah yang memberi nikmat.

Sehingga dengan itu kita tidak pernah melupakan perintah syukur sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al Quran dalam surah Al Baqarah ayat 172 yang bermaksud:

"Bersyukurlah kamu kalau betul engkau menyembahnya."

Apabila didatangi dengan berbagai ujian tidak kiralah samada ujian besar mahupun kecil; bagaikan orang yang terkena kejutan elektrik; hati kita mestilah terus terkenang-kenang dosa-dosa yang telah dilakukan.


Apakah ujian demi ujian yang datang itu untuk menghapuskan dosaku? Atau untuk mendidik diriku agar lebih soleh atau solehah? "Wahai Tuhanku, kalau beginilah hukumanMu untukKu di atas dunia ini, aku rela menerimanya dari diazab oleh api neraka yang amat pedih. Ampunkan dosa hambaMu ini ya Allah."

Bila hati telah berkata begitu, tidaklah timbul rasa ingin mengadu ke sana dan ke mari atau mengeluh di atas segala kesusahan.


Redha terhadap setiap ujian yang datang. Kita mestilah tidak berani menyanggah atau mengkritik Allah swt. Kita mestilah yakin dengan keadilan dan kebijaksanaan Allah di dalam menentukan setiap hal yang berlaku. Atas dasar itu kita menerima berbagai rintangan dan halangan itu dengan lapang dada.


Malah hati yang sudah cinta dengan Allah itu menjadikan setiap ujian yang datang, tidak dirasakan masalah lagi. InsyaAllah hati kita dapat berhibur dengan mehnah (ujian) yang datang kerana kita tahu itulah kasih sayang dan perhatian Allah swt kepada kita.


Semakin berat ujian yang menimpa diri kita maka sekencang itulah juga ibadah kita pula kepada Allah swt. Semoga diri kita semakin dekat dengan Allah, sembahyang bertambah khusyuk dan semakin lazat kita bermunajat kepada Allah swt. Dalam sepi malam kita bangun bermunajat kepada Allah swt, memohon dibukakan tabir keampunan dan kerahmatan. Pada siang harinya disibukkan diri dengan kerja-kerja yang bermanfaat pada diri dan masyarakat sementara segala masalah yang dihadapi hendaklah cuba dilupa-lupakan.


Tidak sedikit pun melayan kejahatan-kejahatan nafsu dan prasangka buruk terhadap sesama manusia. Kerana kita tahu nafsu dan syaitan tidak pernah berputus asa untuk mengajak kepada kemungkaran. Allah swt telah mengingatkan kita di dalam firmanNya:

"Sesungguhnya nafsu itu sentiasa mengajak kepada kemungkaran."


Ketika datang bisikan-bisikan nafsu yang meruntun diri kita supaya berbuat jahat seperti hasad dengki dengan jiran tetangga atau orang lain, berburuk sangka terhadap kawan, bermasam muka kepada suami, mengumpat dan sebagainya; cepat-cepat ditepiskan bisikan menipu itu.

Kita sudah tahu, sekali diri kita berbuat dosa, akan bertapaklah bintik-bintik hitam di hati, menyebabkan hati kita akan semakin keras bak batu sungai yang sukar dipecahkan. Rasulullah saw bersabda:

"Bila seorang hamba membuat dosa terjadilah satu bintik hitam dihatinya dan kalau bertambah dosanya bertambahlah bintik-bintik hitam itu."

Sabdanya yang lain:

"Orang yang membuat dosa hilanglah sebahagian akalnya untuk tidak kembali lagi selama-lamanya."


Tidak pernah terfikir atau merancang untuk menyakiti hati orang lain lebih-lebih lagi suami, isteri, ibu, ayahnya sekalipun dirinya disakiti. Contohnya, sekembalinya suami ke rumah, tiba-tiba dirinya dijadikan sasaran untuk melepaskan geram. Miskipun dia tahu itu bukan salahnya, tetapi sebagai seorang isteri yang solehah sedikit pun tidak dikesali perbuatan suaminya itu. Sebaliknya menyesali diri yang masih lagi belum solehah kerana dirasakan dirinya gagal untuk memberi kebahagiaan kepada suaminya itu.

Patuh terhadap arahan suami dan suka menunaikan permintaan daripada sesiapa jua, tanpa banyak soal. Walaupun arahan atau hajat orang lain, itu menyebabkan dirinya terpaksa bekorban dan hidup menderita.

Bukanlah kehidupan kita untuk mencari pangkat dan nama kerana kita tahu di atas dua tiket ini membawa manusia rakus dengan dunia sehingga sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapainya. Sebaliknya, kita menjadikan seluruh kehidupan ini untuk mencari kerdhaan Allah swt semata-mata.

Kesimpulannya, masih terlalu banyak peribadi-peribadi lelaki soleh dan wanita solehah yang belum saya cungkil tetapi kiranya kesemua sifat yang di atas tadi dapat kita rintis dengan baik, insyaAllah kita akan memiliki hati yang tenang. Hanya orang yang membawa hati yang tenang dan sejahtera sahaja yang akan selamat menemui Allah di akhirat kelak. Berdoalah selalu semoga kita diberi cahaya keimanan, cahaya bagi segala cahaya yang tiada tolok bandingnya yang bakal memberikan laluan lurus untuk selamat menuju Tuhan yang Maha Agung.

Wa Allahu A'lam...


Jom baiki diri!!



...:: selamat menuju Tuhan yang Maha Agung ::...


Category:

No comments:

Daisypath Vacation tickers
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

..:: Jom Kongsi ::..